1,500 Jawatan Kosong Dibuka Di Kelantan

 Kota Bharu: Sebanyak 1,500 jawatan kosong daripada 10 majikan di Kelantan dibuka untuk mereka yang sedang mencari pekerjaan, sejajar dengan kesukaran membina kerjaya susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara.


Peluang pekerjaan itu dibuka melalui program Mini Karnival Kerjaya dan Usahawan Wanita Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan secara dalam talian pada 18 dan 19 Ogos ini.


Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob berkata, program berkenaan hasil kerjasama dengan Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kelantan atas dasar keprihatinan terutama kepada masyarakat dan individu yang kehilangan pekerjaan.


"Program ini dijalankan secara dalam talian yang menjadi medium akses bagi memudahkan majikan dan pencari kerja menjalani sesi temu duga. Ia secara tidak langsung dapat mengelak penularan wabak tetapi dalam masa sama memberi ruang buat majikan mencari pekerja serta memberi peluang masyarakat membina kerjaya.


"Sebanyak 10 majikan terbabit dalam program ini seperti Klinik Primer Tok Bali Sdn Bhd, Allianze Life Insurance (M) Berhad, Serambi Butik Sdn Bhd dan Millionz Care Centre yang membuka peluang pekerjaan pelbagai bidang.


"Penganjuran ini juga dimeriahkan dengan sesi taklimat berkaitan persediaan sebelum temu duga, keterampilan diri, perkongsian oleh usahawan-usahawan dan juga taklimat Portal MyFutureJobs," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Nora berkata, sehingga 15 Ogos lalu, portal MyFutureJobs menujukkan statistik individu yang mencari kerja adalah seramai 45,502 pemohon dengan pendaftaran oleh 1,299 majikan, manakala 3,800 jawatan kosong sudah diiklankan.


Katanya, portal MyFutureJobs adalah Portal Pekerjaan Negara yang membantu pencari kerja mendapat pekerjaan melalui padanan pekerjaan bersesuaian dan turut memudahkan majikan mencari tenaga kerja.


"Pencari kerja disarankan untuk berdaftar dan menggunakan Portal MyFutureJobs di www.myfuturejobs.gov.my kerana portal ini adalah medium terbaik dalam menghadapi cabaran norma baharu dan mampu mengurangkan kadar pengangguran di negara ini," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, katanya, di Kelantan, pada tahun 2020, sebanyak 2,484 kes kehilangan pekerjaan diluluskan dengan jumlah bayaran faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan sebanyak RM7 juta.


Manakala sehingga 31 Julai 2021, sebanyak 495 kes kehilangan pekerjaan diluluskan dengan keseluruhan bayaran sebanyak RM4 juta.


Sumber: Harian Metro

Cancel

Penafian: Blog ini hanya menyiar ulang jawatan dengan tujuan memberi maklumat sahaja. Untuk permohonan jawatan, kami akan bawa kepada portal rasmi yang ditetapkan